Table of Contents

Apa Itu Bantuan Anak Pelihara (BAP)

Bantuan Anak Pelihara diberikan bagi memastikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, termasuk yatim, yatim piatu atau yang tidak mempunyai saudara-mara, dapat terus membesar dalam suasana keluarga dan kekal tinggal dalam masyarakat.

Bantuan ini juga bertujuan meringankan beban keluarga pelihara yang sanggup menjaga dan membesarkan anak-anak ini seperti anak kandung sendiri. Selain itu, skim ini menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat tampil menjadi keluarga pelihara kepada kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang, perlindungan dan penjagaan yang stabil.

Anda mungkin berminat : Rumah Mesra Rakyat – Permohonan dan Kadar Bantuan

Objektif Bantuan Anak Pelihara

  • Memenuhi keperluan asas bagi meringankan beban penerima bantuan.
  • Menyediakan alat sokongan sosial untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan.
  • Menyediakan alat pemulihan supaya penerima bantuan dapat terus tinggal dalam komuniti/masyarakat.
  • Memberi sumber kewangan sementara untuk membantu penerima meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.

Agensi Pelaksana

Agensi pelaksana yang terlibat dalam bantuan ini adalah seperti berikut :

  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM)
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Jumlah Bantuan

RM250.00 sebulan bagi setiap seorang kanak-kanak yang layak. Bagi keluarga yang memelihara dua (2) orang kanak-kanak atau lebih, jumlah maksimum bantuan yang boleh diterima ialah RM500.00 sebulan.

Bantuan ini diberikan bagi membantu menampung kos penjagaan, pemeliharaan, pendidikan asas, serta memastikan kebajikan kanak-kanak sentiasa terjaga, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah atau yang berdepan kesukaran kewangan.

Syarat Kelayakan Bantuan Anak Pelihara

  • Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia :Permohonan hanya layak jika pemohon serta kanak-kanak tinggal secara tetap di Malaysia.
  • Keluarga yang sedang memberi jagaan kepada kanak-kanak : Termasuk penjaga sah, waris, atau keluarga ganti yang benar-benar bertanggungjawab terhadap pengasuhan harian kanak-kanak.
  • Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun : Bantuan hanya diberikan sehingga kanak-kanak mencapai usia 18 tahun.
  • Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa : Termasuk yatim, yatim piatu atau ditinggalkan tanpa penjagaan ibu bapa.
  • Kanak-kanak mestilah warganegara Malaysia : Hanya kanak-kanak yang memiliki kerakyatan Malaysia layak menerima bantuan.
  • Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat di bawah Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 : Kerana kanak-kanak yang diangkat secara sah mempunyai perlindungan dan hak lain di bawah perundangan tersebut.
  • Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” JKM : Kanak-kanak di bawah program rasmi ini layak dipertimbangkan.
  • Kanak-kanak di bawah Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 : Termasuk kanak-kanak yang penempatannya ditetapkan oleh mahkamah.
  • Kanak-kanak yang dijaga oleh waris atau keluarga ganti yang mempunyai pertalian saudara dan berkelayakan, serta bukan melalui mana-mana Perintah Mahkamah : Asalkan penjagaan dilakukan secara sah dan berterusan.
  • Kanak-kanak yang tinggal di Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menyediakan kemudahan secara percuma adalah tidak layak :Kerana mereka sudah menerima perlindungan penuh daripada pertubuhan tersebut.

Cara Permohonan Bantuan Anak Pelihara

Permohonan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian yang berhampiran dengan tempat tinggal, atau secara dalam talian melalui laman rasmi JKM.

Maklumat Lanjut

Jika anda mempunyai sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi JKM.